Posisi Penyusuan

Ada beberapa posisi mendukung bayi ketika penyusuan ibu. Secara asasnya apa saja posisi yang dipilih, ibu dan anak haruslah dalam keadaan selesa, tenang dan tidak menyakitkan mana-mana bahagian badan.





1. Posisi Mendukung (Cradle Hold)
Ibu duduk dalam keadaan tegak dengan bahagian belakang disokong dengan bantal. Bayi diletakkan betul-betul di hadapan ibu dalam keadaan perut bayi bertemu perut ibu. Jika bayi menyusu pada payudara kiri ibu, maka kepala, belakang badan dan punggung bayi diampu oleh lengan kiri ibu.  Begitulah juga jika bertukar ke bahagian kanan. Badan bayi juga boleh disokong dengan bantal untuk meninggikannya. Ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.


2. Posisi Mendukung Bersilang (Cross-Cradle Hold)
Posisi ini hampir sama seperti posisi mendukung (cradle hold) di atas. Cuma bezanya ialah dalam posisi ini bayi diampu oleh tangan yang satu lagi. Jika bayi menyusu pada payudara kiri ibu, bahagian badan, belakang dan kepala bayi diampu oleh lengan kanan ibu. Tapak tangan ibu mengampu kepala bayi. Badan bayi juga boleh disokong dengan bantal untuk meninggikannya. Ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.


3. Posisi Mendakap (Football Hold)
Posisi ini sesuai untuk ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan ceaserean kerana badan bayi tidak menekan abdomen ibu yang boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian pembedahan. Dalam posisi ini bayi diletakkan di sisi (kiri atau kanan) ibu. Badan bayi disokong oleh bantal dan juga lengan ibu. Juga ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.


4. Posisi Berbaring (Lying Down)
Posisi ini juga sesuai untuk ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan ceaserean dan juga ibu-ibu yang bersalin normal yang tidak selesa untuk duduk tegak dan mungkin sakit di bahagian bawah.  Ibu-ibu perlu berbaring mengiring ke kiri atau ke kanan. Belakang badan ibu dan kepala disokong dengan bantal dalam keadaan selesa. Bayi juga diletakkan dalam keadaan mengiring menghadap ibu. Belakang bayi juga disokong dengan bantal.


Secara amnya:
  1. Kepala, tengkok dan badan bayi haruslah dalam keadaan selari
  2. Muka bayi menghadap payudara, hidung bayi bertentangan puting payudara ibu
  3. Bayi rapat dengan ibu, perut bertemu perut
  4. Kepala, bahu dan punggung bayi diampu
  5. Ibu dalam keadaan selesa dan tidak membongkok
Penyusuan Selepas Caesarean

Bagi anda yang melahirkan bayi melalui kaedah pembedahan caesarean, ketahuilah anda boleh menyusukan bayi tanpa perlu timbul rasa khuatir. Apa yang penting ialah anda tahu dan mengaplikasi posisi penyusuan yang bersesuaian dengan keadaan diri selepas bersalin.

Antara posisi penyusuan yang sering diakui sebagai selesa untuk anda dan bayi ialah lying down dan football hold (clutch hold). Namun, bagi yang pertama kali bergelar ibu, mungkin agak kekok untuk anda mengguna pakai kedua-dua posisi ini. Jadi, pelajari dan praktikkan posisi ini lebih awal agar anda biasa dengannya.

Untuk pengetahuan anda, ramai ibu yang melahirkan anak secara caesarean menggunakan posisi cradle hold. Ketahuilah, penggunaan posisi ini kadangkala boleh menimbulkan ketidakselesaan jika kedudukan tubuh anda tidak betul. Secara tidak disedari ia boleh membantut keinginan anda untuk menyusukan bayi akibat tidak tahan menanggung kesakitan di bahagian luka pembedahan.

Bagi mengurangkan kesakitan luka pembedahan, anda digalakkan untukmenyediakan kusyen sokongan seperti bantal, tilam kecil dan lain-lain yang boleh digunakan untuk mengalas bahagian abdomen supaya berat bayi tidak menekan bahagian yang luka berkenaan sekiranya anda ingin menyusukan bayi menggunakan posisi cradle hold.

Selain daripada itu, bahagian belakang badan turut perlu disokong dengan bantal. Gunakan lebih banyak agar anda boleh bersandar tidak perlu terlalu membongkok. Dalam pada itu, pastikan bayi turut disokong dengan bantal mencukupi. Pastikan juga posisi badan bayi dalam keadaan yang betul (perut ke perut) walaupun kedudukannya di atas bantal.


0 comments:

Post a Comment